|
PANDUAN MENJAGA ALAT SULIT WANITA
Jangkitan Yang
Berulang Boleh Merosakkan Sistem Peranakan , Dalam kehidupan seseorang
wanita, penjagaan alat sulit atau alat kelamin amat penting kerana ia
berkait rapat dengan pengeluaran darah haid, hubungan seks dan
kehamilan.
Bahagian ini
sensitif pada perubahan persekitaran terutamanya keasidan dan kealkalian
(pH) kemaluan wanita. Perubahan ini samada disebabkan jangkitan kuman,
penggunaan sabunatau faktor fizikal, persekitaran ataupun kebersihan
diri. Seseorang wanita mungkin tidakselesa, gatal, mengeluarkan
keputihan yang tidak normal atau berbau, bengkak alat kelamin dan
kesakitan.
Menurut Dr.Wan Zarina dari PKPUUM , wanita yang mempunyai tanda-tanda tersebut mudah dijangkiti kuman.
"Ia juga akan menjejaskan hubungan seks dan menimbulkan konflik antara suami dan isteri."
"Disamping itu,
jangkitan kuman tertentu yang berulang boleh merosakkan sistem
peranakan menyebabkan saluran fallopio tersumbat dan menjadikan
seseorang itu sukar mendapat zuriat," katanya.
Ada beberapa langkah yang boleh dijadikan panduan untuk menjaga alat kelamin atau reproduktif wanita.
Langkah-langkah penjagaan alat kelamin yang disyorkan:
Membersihkan bahagian luar kemaluan selepas buang air kecil atau air besar, seelok-eloknya menggunakan air.
Ketika haid,
wanita dinasihatkan kerap menukar tuala wanita terutama pada hari-hari
yang banyak darah keluar. Ini kerana darah adalah media yang sesuai
untuk kuman membiak. Bagi wanita yang menggunakan tampon mereka perlu
ingat untuk menukarnya.
Elak daripada
sering mengamalkan douching iatitu memasukkan jari atau pancutan ke
dalam faraj dengan tujuan membersihkan bahagian dalam faraj. Perbuatan
ini akan menyingkirkan sejenis bakteria lactobacilli dari faraj
disamping mendedahkan faraj dan bahagian luar kemaluan kepada bahan
kimia yang boleh mengakibatkan iritasi kulit.
Elakkan
menyabun atau menyapu shower gel pada alat kelamin kerana ia mungkin
menyebabkan kekeringan dan iritasi kulit atau gatal.
Sesetengah wanita sensitif dan alah pada pewangi dalam buih sabun.
Pasangan suami
isteri digalakkan membersih alat kelamin dengan air sebelum dan selepas
hubungan seks untuk kebersihan yang optima.
Amalkan
membuang air kecil lebih kurang setengah jam selepas hubungan seks untuk
mengurangkan risiko jangkitan kuman pada pundi kencing. Amalan ini
berkesan untuk wanita yang sering mengalami jangkitan kuman pundi
kencing (urinary tract infection).
Elakkan memakai
pakaian dalam sentetik yang terlalu ketat kerana ia menyebabkan kulit
berpeluh, tiada peredaran udara pada kulit dan akhirnya menggalakkan
kuman membiak.
Pakaian dalam
perlu ditukar setiap hari dan pada hari-hari mengalami keputihan, elok
memakai panty liner supaya ia tidak melekat pada pakaian dalam yang
menyebabkan ketidakselesaan.
Tambah Dr.Wan
Zarina lagi, jangkitan kuman sering berlaku sekiranya alat sulit tidak
dijaga dengan sempurna. Ini termasuk kuman bakteria, virus, kulat dan
protozoa yang dapat ditularkan melalui hubungan seks (sexually
transmitted disease). Wanita dan pasangan perlu berjumpa doktor sakit
puan untuk ujian pengesahan dan rawatan spesifik. "Paling kerap berlaku
ialah jangkitan kuman atau fungus yang dipanggil candida. Ia dapat
dirawat dengan memasukkan ubat antifungus ataupun ubat pil ke dalam
faraj." Ujar beliau.
Kumpulan kuman
lain yang sering menyerang wanita ialah bacterial vaginosis. Pesakit
akan mengadu mengeluarkan lendir busuk (fishy / odour discharge) dan
kegatalan teruk. Ini dapat dirawat dengan antibiotic spesifik.
Katanya, wanita juga terdedah penyakit bengkak pada alat kelamin yang dipanggil bartholin cyst.
"Ia terjadi
bermula dengan pembengkakan setempat pada bahagian bawah bibir kemaluan.
Pada peringkat awal, pesakit mungkin tidak perasan kerana saiznya
kecil. Cyst ini terbentuk akibat kelenjar Bartholin tersumbat dan
bengkak yang sering terbentuk disebabkan jangkitan kuman bakteria.
"Ia dapat
dikawal melalui pembedahan kecil pada cyst untuk mengeluarkan cecair
yang terkumpul di dalam kelenjar tersebut. Sekiranya ia kerap berulang,
dinasihatkan dibedah dan dikeluarkan," jelas Dr. Wan Zarina lagi.
Bengkak nanah
(abcess) dikaitkan dengan jangkitan kuman dan pesakit mengadu sakit
serta demam. Rawatan adalah secara incisional dan drainage untuk
mengeluarkan nanah dan pengambilan antibiotik.
Selain itu, bisul juga boleh terjadi pada wanita yang sering bercukur. Oleh itu, kebersihan pencukur perlu dititikberatkan.
Penyakit lain
yang turut dikaitkan dalam masalah ini ialah barah pada bahagian luar
alat kelamin (vulva dan vagina). Namun ia jarang terjadi berbanding
barah pangkal rahim, rahim atau ovari. Ia merangkumi hanya 5 peratus
daripada semua jenis barah system produktif wanita.
"Penyakit ini
sering berlaku pada wanita yang telah menopaus dengan purata umur 60
tahun. Pesakit akan mengalami kegatalan berterusan yang teruk diikuti
ketumbuhan atau ulser yang kerap bermula pada bibir luar kemaluan.
Rawatan ini merangkumi pembedahan besar dan radioterapi," katanya.
Ketika mengulas
mengenai kaitan penjagaan alat sulit dengan masalah keputihan, Dr. Wan
Zarina berkata keputihan kerap berlaku pada wanita dan penting sekali
mereka tahu membezakan antara keputihan biasa dan yang berpenyakit.
"Keputihan yang
normal boleh berlaku pada keadaan berikut iaitu beberapa hari sebelum
tiba haid, ketika keghairahan seks, kehamilan dan klimakterik atau
selepas menopaus.
"Begitu juga
sebelum tiba haid dan ketika hamil atau belaku perubahan paras hormon
yang meningkat. Semua ini menyebabkan banyak keputihan atau cecair
jernih yang melekit keluar dari faraj," ujar Dr. Wan Zarina
Tanda-tanda
keputihan yang berpenyakit termasuklah pertukaran warna dari jernih,
putih ke kuning atau kehijauan atau berdarah. Sekiranya keputihan
terlalu banyak, kadang-kadang ia keluar secara berketul- ketul kecil,
gatal dan berbau. Tanda-tanda adalah seperti bengkak, pedih atau sakit
pada alat kelamin. Sekiranya jangkitan merebak ke rahim atau sistem
peranakan, wanita akan mengadu sakit pada bahagian bawah abdomen serta
demam.
"namun begitu,
seelok-eloknya wanita yang mengalami masalah keputihan dinasihatkan
berjumpa doktor untuk mendapatkan pengesahan sama ada ia berpenyakit
atau tidak, supaya rawatan dapat diberikan sebelum penyakit serius,"
tambah beliau.
Dr. Wan Zarina
juga menjelaskan, kebanyakan wanita tidak memerlukan produk atau ubat
penjagaan alat kelamin sekiranya langkah-langkah yang disarankan tadi
diikuti dengan bijak.
Ubat hanya perlu diambil bagi merawat jangkitan kuman dan keputihan yang tidak normal.
"Ada segelintir
wanita berasa selesa dan puas apabila mereka membersih dan merawat alat
kelamin dengan produk yang berada di pasaran. Mereka dinasihatkan
memikir bahan pencuci yang tidak alergik, yang tidak mengubah pH faraj
dan telah diuji kebersihannya. "Sekiranya
selepas menggunakan produk tersebut dan timbul rasa pedih, gatal atau
kemerahan, wanita itu dinasihatkan tidak menggunakannya lagi dan
berjumpa dengan doktor," katanya lagi.
|