Jangkitan cacing boleh berlaku pada semua kumpulan usia masyarakat. Bagaimanapun, ia lebih kerap terjadi pada kanak-kanak.

Simptom :

a) Kurang selera makan
b) Tumbesaran terganggu
c) Kerap muntah
d) Sakit perut
e) Kerap cirit birit
f) Pucat
g) Gatal pada dubur.

Cacing kerawit boleh menyebabkan kekurangan darah kerana ianya boleh menghisap darah di dalam usus. Masalah kurang darah yang kronik boleh mengganggu tumbesaran dan pembelajaran malah pada tahap yang lebih serius, ianya boleh menyebabkan kegagalan jantung.

Jangkitan cacing gelang adalah jangkitan yang paling kerap berlaku (50%), diikuti cacing cemmeti (40 peratus) dan 10 peratus lagi oleh cacing kerawit. Umur yang paling kerap dijangkiti adalah antara umur 6 dan 7 tahun. Jika ada tanda jangkitan, ubat cacing boleh diberi kepada semua peringkat usia. Namun, pemberian ubat untuk pencegahan seperti yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2006 adalah selepas umur setahun.

Cacing adalah sejenis jangkitan yang berlaku daripada pencemaran tanah. Tanah yang tercemar dengan telur cacing akan mencemarkan tanaman dan tangan manusia. Tangan dan makanan yang tidak dibersihkan dengan baik juga akan menyebabkan telur cacing dimakan dan larva akan menetas di dalam usus. Larva yang sudah menetas  akan berhijrah ke paru-paru sehingga matang sebelum berhijrah semula ke dalam usus manusia. Cacing yang matang akan bertelur, membiak dan telur cacing boleh menjangkiti orang lain jika tangan tidak dibersihkan dengan baik sebelum penyediaan makanan.

Larva cacing kerawit juga boleh menembusi kulit dan masuk ke dalam saluran darah dan seterusnya masuk semula ke dalam usus dan meneruskan kitar hidup yang sama.

Komplikasi :

1) Cacing Gelang
Usus tersumbat menyebabkan muntah-muntah, perut kembung dan tidak nemmbuang air besar. Komplikasi ini perlu dirawat dengan pembedahan untuk mengeluarkan cacing dengan banyak yang menyekat perjalanan usus. Larva cacing ini boleh berhijrah ke paru-paru dan boleh menyebabkan simptom batuk dan lelah dan cacing tersebut juga boleh berhijrah ke hempedu dan pankreas yang seterusnya boleh menyebabkan demam, sakit kuning dan sakit perut.  Cacing boleh dikeluarkan dengan kaedah endoskopi atau pembedahan.

2) Cacing Cemeti
Masalah usus tersumbat menyebabkan muntah berwarna kuning, perut kembung dan berak berdarah dengan banyak. Cacing yang sangat banyak pada usus besar dan rektum (pangkal usus) boleh menyebabkan "prolaps rectum" atau usus terkeluar dan cacing dapat dilihat pada permukaan usus.

3) Cacing Kerawit
Menyebabkan kekurangan darah atau anemia kerana cacing ini boleh menghisap darah di dalam usus. Anemia boleh menjadi teruk dan mengganggu tumbesaran, pembelajaran seseorang kanak-kanak dan pada tahap lebih serius boleh menyebabkan kegagalan jantung.