|
|
BAYI MATI TERSEDAK SUSU
 |
KELUARGA dan sahabat salah
seorang bayi yang meninggal tersedak susu di pusat asuhan menunggu di
luar Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR: Dua bayi lelaki dari sebuah pusat asuhan maut dipercayai
tersedak susu ketika dalam jagaan pengasuh mereka di Taman Pertama,
Ampang dekat sini, tengah hari semalam.
Kejadian jam 1 tengah hari itu dikatakan berlaku tidak lama
selepas kedua-dua bayi malang itu, Muzaffar Mohd Faizal, tiga bulan, dan
seorang lagi hanya dikenali sebagai Harris, tujuh bulan, diberikan susu
di pusat asuhan berkenaan.
Bagaimanapun, kedua-duanya meninggal dunia tidak lama selepas
dikejarkan petugas pusat asuhan terbabit ke sebuah poliklinik di Taman
Permata sebelum mayat mereka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL)
untuk bedah siasat.
Bapa Muzaffar, Mohd Faizal Jaafar, 32, berkata ketika kejadian beliau
berada di Kedah kerana urusan kerja sebelum bergegas pulang ke ibu
negara selepas dihubungi isterinya pada jam 2.45 petang berhubung
kejadian itu.
Beliau berkata, anak keduanya itu dihantar ke pusat asuhan
terbabit sejak lebih sebulan lalu dan tidak menyangka kejadian sedih itu
akan menimpa mereka sekeluarga.
“Isteri memberitahu dia menerima panggilan telefon daripada
petugas pusat asuhan itu jam 2 petang dan memintanya ke sebuah
poliklinik di Taman Pertama.
“Sebaik tiba, anak saya disahkan sudah meninggal dunia sebelum dihantar ke HKL untuk bedah siasat,” katanya.
Mohd Faizal berkata, beliau belum memikirkan sebarang tindakan
lanjut kerana masih menunggu keputusan penuh bedah siasat selain mahu
menguruskan urusan pengebumian jenazah anaknya terlebih dulu yang
dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU5, Lembah Keramat hari
ini.
Datuk kepada Harris, Abdul Aziz, 51, berkata beliau terkejut
sebaik mendapat tahu cucu lelakinya yang baru dua minggu ditempatkan di
pusat asuhan berkenaan meninggal dunia kerana dikatakan tersedak susu.
“Saya dimaklumkan yang cucu meninggal kerana tersedak susu,
tetapi masih menunggu hasil siasatan polis bagi mengenalpasti punca
sebenar kematiannya,” katanya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin
Jamaluddin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung
kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mendapatkan
laporan perubatan bagi mengenalpasti punca kematian. |
|
|
|
|
|
| | |
| |
|